Powered By Blogger

Wednesday, 31 October 2012







apa yang anda lihat????

SiswaDotCom : Isu yuran pengajian, PTPTN

ISU pendidikan ialah suatu isu yang tidak seharusnya dipandang remeh dalam usaha untuk membina sebuah negara maju bagi mencapai hasrat wawasan 2020 seperti yang telah digagaskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi memperkasakan sebuah masyarakat berdaya saing yang bersifat glokal, kita perlu memberi keutamaan kepada pembinaan modal insan di institusi pengajian tinggi (IPT). Apabila menyentuh isu pendidikan di IPT, maka isu yang selalu dimainkan ialah berkenaan pendidikan percuma. Adakah pendidikan percuma itu satu kemestian di peringkat universiti seperti di peringkat sekolah rendah dan menengah? Perkara ini berbalik semula kepada dasar kerajaan berkenaan isu pendidikan.
Sekiranya kerajaan ingin melahirkan tenaga mahir yang bersifat kompetitif dan komprehensif, maka perkara ini seharusnya menjadi satu kemestian seperti dilakukan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah melalui pemansuhan yuran pengajian kepada pelajar seperti dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Maka, perkara ini akan membuka ruang kepada pelajar untuk turut serta dalam proses pengajian tanpa halangan dari sudut pembayaran yuran pengajian.


Pemansuhan yuran pengajian pula tidak bererti pelajar tidak memerlukan wang untuk sara hidup. Oleh itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ialah satu saluran yang relevan untuk digunakan pelajar yang tidak berkemampuan.

Objektif PTPN ialah untuk memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di IPT selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan. Melalui pemansuhan yuran pengajian, PTPTN kini menjadi satu badan untuk menyediakan pinjaman kepada pelajar yang memerlukan wang untuk kos sara diri di IPT seperti dinyatakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Perkara ini sebenarnya telah dipraktikkan di peringkat sekolah rendah dan menengah apabila ibu bapa menyara anak-anak dalam urusan kos sara diri, manakala yuran sekolah pula ditanggung kerajaan. Maka, penghapusan PTPTN secara total adalah suatu tindakan yang terlalu drastik yang hanya akan merugikan banyak pihak.

Keterikatan PTPTN terhadap sumber kewangan yang disalurkan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaksa badan itu mengenakan caj terhadap peminjam. Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan oleh perbadanan berkenaan dengan tidak mengenakan caj perkhidmatan terhadap peminjam, sebaliknya bayaran pinjaman haruslah didasari dengan jumlah sebenar pinjaman.
Untuk melaksanakan perkara ini, PTPTN harus mempelbagaikan sumber kewangannya daripada bergantung semata-mata terhadap sumber dana yang terhad dan berorientasikan keuntungan. Begitu juga, pemotongan terhadap jumlah pinjaman asal juga boleh dilaksanakan berdasarkan keputusan graduasi seseorang pelajar itu melalui proses pemotongan yang bersifat peratus. Perkara ini ialah suatu perkara yang lebih realistik berbanding pemansuhan terus PTPTN.

Bebanan hutang negara pada hari ini telah menjangkau sekitar RM400 billion, apa yang harus difikirkan ialah bagaimana untuk kita menghasilkan satu pelaburan bermanfaat kepada negara, namun pada masa sama berusaha untuk mengurangkan jumlah hutang yang terlalu besar itu.

Selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), pendidikan sebagai prospek pelaburan terbesar harus diberi perhatian dalam usaha untuk membentuk negara yang benar-benar memiliki keupayaan inovasi untuk melonjakkan satu harapan bagi membina sebuah negara maju.

Sebagai kesimpulan, kami ingin menyatakan pendirian mahasiswa Malaysia, pertama PTPTN tidak seharusnya mengenakan sebarang caj terhadap pembiayaan pinjaman kerana akan membebankan mahasiswa kerana akan terus berhadapan dengan bebanan hutang sejurus selepas bergraduat.

Berkenaan isu pendidikan percuma, kami berpandangan kerajaan bertanggungjawab menyara hanya yuran pembelajaran di universiti. Namun begitu, kos sara hidup (makan, buku) mahasiswa harus menjadi tanggungjawab individu, bukan kerajaan. Kerajaan hanya perlu menambah subsidi yuran daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Seterusnya, mahasiswa cemerlang layak memohon biasiswa dan secara langsung seluruh kos sara hidup mereka akan dibiayai sepenuhnya, ini akan menggalakkan persaingan secara sihat dalam kalangan mahasiswa. Tetapi, kerajaan tidak perlu membiayai yuran kepada pelajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana ia adalah pilihan individu dan mereka berhak untuk memilih institusi pendidikan yang terbaik.

Mohamad Iqbal Ab Wahab, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM

Tulang sintetik daripada sisik ikan

Dr Ismail berjaya menghasilkan tulang sintetik halal daripada sisik ikan.  
 
Dr Ismail berjaya menghasilkan tulang sintetik halal daripada sisik ikan.
TULANG sintetik daripada bahan kimia dan dan tulang binatang antara bahan yang digunakan secara meluas dalam bidang perubatan bagi tujuan pembaikan dan pembinaan semula tulang yang mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, kos mahal dan isu etika serta keagamaan antara masalah timbul apabila menggunakan dua sumber tulang berkenaan.
Penyelidikan sekumpulan ahli akademik Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diterajui Prof Madya Dr Ismail Zainol, menghasilkan tulang sintetik alternatif berasaskan sisik ikan yang jauh lebih murah dan terjamin keselamatan penggunaannya.


Dr Ismail berkata, sisik ikan mempunyai komponen kolagen dan bahan bioseramik hydroxyapatite (HA) membolehkan ia diproses menjadi tulang sintetik yang selamat dan halal digunakan selain mudah dihasilkan menerusi proses pemanasan saja.

Katanya, tulang sintetik daripada sisik ikan itu boleh digunakan bagi merawat kecederaan tulang termasuk dalam pembedahan ortopedik, telinga, hidung dan tekak, wajah serta pembedahan berkaitan pergigian.

“Proses penghasilan tulang sintetik daripada bahan kimia bukan saja rumit, tetapi juga mahal mencecah RM500 bagi penghasilan satu gram HA.

“Hal ini berbeza dengan tulang sintetik berasaskan sisik ikan yang boleh didapati pada harga antara RM10 hingga RM15 sekilogram dan mampu menghasilkan 500 gram HA,” katanya ketika ditemui pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi (ITEX).
Penyelidikan itu turut dijayakan Dr Maarof Zainal Abidin, Dr Haniza Hanim Mohd Zain dan Nazrah Mohd Nawi.

Mengenai proses penghasilan HA daripada sisik ikan, Ismail berkata, ia menggunakan teknik termal iaitu pemanasan sisik ikan menggunakan relau pada suhu 600 darjah Celsius (C) bagi pembakaran komponen organik dan dipanaskan sekali lagi pada suhu 1,100 darjah C untuk menukarkan sisik ikan menjadi HA.

Katanya, bahan mentah HA yang terhasil itu kemudian boleh diproses menjadi forus atau granul bagi membantu proses pembentukan tulang baru.

“Serbuk HA yang terhasil ini boleh digunakan terus atau diproses menjadi bentuk pil atau bulat mengikut saiz dan keperluan pembedahan tulang yang berbeza.

“Saiz berlainan perlu disesuaikan dengan jenis kecederaan. Kerosakan pada rongga rahang gigi memerlukan saiz granul yang lebih kecil, manakala rongga pada tulang femur (paha) memerlukan saiz yang lebih besar,” katanya.

Hasil penyelidikan yang memberi manfaat besar kepada bidang perubatan itu meraih pelbagai pengiktirafan termasuk pingat emas pada Pameran BioMalaysia tahun ini, perak sempena Pertandingan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) serta ITEX 2011.

Terbaru, produk penyelidikan itu menerima Anugerah Harta Intelek Negara sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Tablet Windows 8 terbaru

Tablet Windows 8 terbaru

pix_gal0
 
 
Tablet Windows 8 dengan rekaan kekunci nampaknya kini sudah menjadi ikutan di kalangan penggemar telefon. Kini ikutan tersebut turut diikuti oleh LG Mobile yang baru saja memperkenalkan LG H160.

Tablet ini memiliki kekunci slide yang mirip dengan rekaan Asus Eee Pad Slider.
Bezanya, untuk mengeluarkan kekunci QWERTY, anda hanya perlu menekan satu tombol khusus yang tersemat pada layar untuk membolehkan kekunci itu muncul.


Ia mempunyai rekaan yang nipis iaitu 16 milimeter dan mempunyai berat sekitar 1.04 kilogram. Secara luarannya tablet ini tidak mempunyai banyak perbezaan dengan tablet android lain di pasaran.

Layar skrinnya agak besar 11.6 inci dengan resolusi 1366x768 piksel. Manakala untuk prosesor, LG menggunakan prosesor Intel Clover Trail.

Pihak LG mengatakan bahawa bateri tablet ini mampu bertahan hingga 10 jam. Buat masa ini LG hanya bercadang untuk menjual produk terbaru mereka ini