Tulang sintetik daripada sisik ikan
Dr Ismail berjaya menghasilkan tulang sintetik halal daripada sisik ikan.
Bagaimanapun, kos mahal dan isu etika serta keagamaan antara masalah timbul apabila menggunakan dua sumber tulang berkenaan.
Dr Ismail berkata, sisik ikan mempunyai komponen kolagen dan bahan bioseramik hydroxyapatite (HA) membolehkan ia diproses menjadi tulang sintetik yang selamat dan halal digunakan selain mudah dihasilkan menerusi proses pemanasan saja.
Katanya, tulang sintetik daripada sisik ikan itu boleh digunakan bagi merawat kecederaan tulang termasuk dalam pembedahan ortopedik, telinga, hidung dan tekak, wajah serta pembedahan berkaitan pergigian.
“Proses penghasilan tulang sintetik daripada bahan kimia bukan saja rumit, tetapi juga mahal mencecah RM500 bagi penghasilan satu gram HA.
“Hal ini berbeza dengan tulang sintetik berasaskan sisik ikan yang boleh didapati pada harga antara RM10 hingga RM15 sekilogram dan mampu menghasilkan 500 gram HA,” katanya ketika ditemui pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi (ITEX).
Penyelidikan itu turut dijayakan Dr Maarof Zainal Abidin, Dr Haniza Hanim Mohd Zain dan Nazrah Mohd Nawi.
Mengenai proses penghasilan HA daripada sisik ikan, Ismail berkata, ia menggunakan teknik termal iaitu pemanasan sisik ikan menggunakan relau pada suhu 600 darjah Celsius (C) bagi pembakaran komponen organik dan dipanaskan sekali lagi pada suhu 1,100 darjah C untuk menukarkan sisik ikan menjadi HA.
Katanya, bahan mentah HA yang terhasil itu kemudian boleh diproses menjadi forus atau granul bagi membantu proses pembentukan tulang baru.
“Serbuk HA yang terhasil ini boleh digunakan terus atau diproses menjadi bentuk pil atau bulat mengikut saiz dan keperluan pembedahan tulang yang berbeza.
“Saiz berlainan perlu disesuaikan dengan jenis kecederaan. Kerosakan pada rongga rahang gigi memerlukan saiz granul yang lebih kecil, manakala rongga pada tulang femur (paha) memerlukan saiz yang lebih besar,” katanya.
Hasil penyelidikan yang memberi manfaat besar kepada bidang perubatan itu meraih pelbagai pengiktirafan termasuk pingat emas pada Pameran BioMalaysia tahun ini, perak sempena Pertandingan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) serta ITEX 2011.
Terbaru, produk penyelidikan itu menerima Anugerah Harta Intelek Negara sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment